Thursday, February 19, 2009

PASAR BESAR SIBU

SIBU WET CENTRAL MARKET

Pasar besar Sibu merupakan pasar basah yang terbesar di Sarawak. Ia juga menempatkan ruang letak kereta bertingkat bersebelahan dengan pasar berkenaan.

Gerai makan dan gerai pakaian terletak di tingkat satu. Manakala ruang bawah mencakupi bahagian basah seperti ikan, daging dan ruang bahagian sayur-sayuran, bahagian kering dan ruang jualan hasil petani-petani tempatan. Ada berbagai jualan menarik di pasar ini terutama udang galah yang berbagai saiz, ikan-ikan sungai, sayuran dan juga buah-buahan tempatan. Harga-harga yang di tawarkan adalah amat berpatutan.

Anda juga tidak akan kempunan kerana di sini juga terdapat buah-buah tempatan yang sama seperti durian, rambutan, langsat, manggis, dokong, mata kucing dan sebagainya. Terdapat juga beberapa jenis buah-buahan yang jarang-jarang kita temui di semnenanjung seperti buah dabai, mawang, durian-durian tempatan yang bermacam-macam jenis lagi.

Buah Dabai

Buah ini bermusim. Namanya sudah tidak asing lagi bagi masyarakat di Sarawak. Sekali jeling macam buah kurma. Isinya rasa lemak-lemak manis. Warna kekuningan. Boleh di makan terus atau di rendam dalam air suam selama 10 minit kemudian di tuskan dan di gaul sama ada dengan gula, garam atau kicap. Boleh juga di makan bersama hidangan nasi tengah hari atau malam.

Bijinya yang keras mempunyai isi yang rasanya seperti kekacang. Ia perlu di pecahkan untuk mendapatkan isi di dalamnya.

Buah ini kebanyakkannya boleh di dapati hanya di Bahagian Sibu sahaja. Terutama di sekitar Sibu, Sarikei, Kanowit, dan Song. Ia kemudian di pasarkan ke daerah lain seperti Kuching dan Miri.

Buah Engkalak atau Temulus

Engkalak dalam bahasa Iban dan Temulus dalam bahasa Melanau. Buah ini lebih besar sedikit dari buah dabai dan cara memakannya hampir sama dengan buah dabai. Rasanya manis-manis juga.





Buah Mata Kuching

Berwarna hijau dan berkulit tebal dan mengerutu sedikit. Rasa manis dan enak di makan. Saiz buah adalah lebih besar dari mata kucing atau bidara dan isinya pun tebal.


Buah Ridan atau Buah Ma.

Ia seakan-akan buah kelubi cuma ia berbeza di segi bentuk, kulit, rasa dan warna yang agak cerah dan kemerah-merahan. Ia tidak semasam buah kelubi.



Buah Ureka Afrika.

Begitu lah nama yang di beritahu. Canggih juga nama. Tetapi ada juga nama lain yang diberikan. Namun saya tidak tahu.

Isinya rasa macam rambutan tetapi lehik sedikit. Kulit tebal tetapi rapuh dan mudah dipecah dengan menepukkannya kepada benda yang keras.

Walau pun kulit hijau tetapi sudah pun tua dan sedia di makan.

Terong Iban.

Terong Iban. Saiz besar dan rasa masam-masam sedikit. Biasa di buat goreng sayur atau gulai juga. Saiz biasa lebih besar dari terong yang terdapat di semenanjung. Mempunyai banyak biji-biji yang kecil.



Buah Pulo.

Rupa seakan-akan buah sukun. Rasa lebih enak dari nangka muda. Biasa mereka buat gulai lemak.




Buah Mawang.
Juga dikenali sebagai buah binjai. Besar macam buah macang, berkulit tebal dan isi berwarna putih jika muda dan kuning jika sudah tua. Biasa di buat jeruk atau pekasam. Lebih enak dicampur dengan lada untuk buat sambal belacan. Di Sabah dikenali sebagai buah bambangan.




Buah Linjan
Buahnya kecil berwarna kemerahan. Isinya nipis dan macam buah mata kucing tetapi mempunyai biji yang besar. Rasa manis sedikit.





Pucuk Midin

Pucuk ini menjadi kegemaran semua kaum di Sarawak. Mudah di dapati di kawasan paya dan rasanya macam pucuk paku juga. Buat je masak macam pucuk paku dan anda pasti akan mengemarinya.



Umbut Lalir

Kulit batangnya di kupas bagi mendapatkan umbut di dalamnya. Rasa umbut ini agak pahit sedikit. Namun di katakan boleh dibuat ubat darah tinggi. Saya tidak pasti macam mana mereka memasaknya.



Umbut Palah
Umbut Palah adalah sebutan orang-orang tempatan. Ia di ambil dari pokok nipah. Dari daun dan lidi masih menjadi bahan utama hasil anyaman dan gubahan yang unik. Hasil kraftangan ini boleh di dapati di kedai yang menjual beranika jenis kraftangan di sekitar bandar Sibu.



PETAI

Anda tidak perlu risau tentang rindu nak makan petai jika anda berada di perantauan. Bagi anda yang gemarkan ulam-ulam tempatan, anda tidak akan ketinggalan dengan lain-lain ulam seperti jering, pegaga, pucuk selon dan lain-lain jenis pucuk yang agak asing bagi saya.


Ikan Sungai Batang Rajang.

Terdapat berbagai-bagai spesis ikan Sungai Batang Rajang. Diantara yang biasa di perolihi adalah lampam, tapah, baung, keli, sembilang, belida, ikan duri, patin, dan sebagainya.



Udang Galah

Udang memang banyak terdapat di dalam Sungai Batang Rajang dan Batang Igan. Namun secara keseluruhannya, semua sungai di Sarawak ada udang yang berbagai saiz.



Ikan Baung.

Kalau kena pada musim dia, memang banyak ikan-ikan baung ini di jual oleh orang-orang tempatan di pasar ini.

Selain itu, terdapat juga ikan yang paling mahal di Sarawak iaitu ikan Empurau yang kebanyakkannya terdapat di Song, Kapit dan Belaga.

Ulat mulong.

Diperolihi dari dalam pokok sago atau rumbia. Menjadi kegemaran bagi kaum iban dan melanau. Boleh di makan hidup-hidup bergitu saja, atau di masak dan di goreng.

Kilang Pasu


KILANG PASU SARAWAK

Terdapat sebuah kilang pasu Sarawak yang di usahakan di Km 12, Jalan Ulu Oya. Ia mereka bentuk berbagai-bagai jenis dan corak yang amat menarik yang bercirikan keunikan kebudayaan kaum tempatan. Bagi anda yang sukakan kepada hiasan dalaman, berkunjunglah ke ke kedai pasu berkenaan untuk di jadikan sebagai kenang-kenangan.

Perabot Jati

PERABOT JATI

Di Kampung Datu, perkampungan melayu dan melanau, terdapat sebuah kedai yang menjual perabot jati yang di import dari tanah Jawa. Pelbagai jenis perabot perabot yang di tawarkan. Bagi peminat-peminat perabot jati, ia merupakan sesuatu kelebihan kerana harga yang di tawarkan adalah amat berpatutan dan mampu di beli.

Kebanyakan pelangan yang membeli perabot-perabot berkenaan selain dari penduduk-penduduk tempatan, adalah merupakan mereka yang datang bertugas dari semenanjung ke Sibu. Iaitu kakitangan kerajaan yang terdiri dari guru-guru, tentera atau polis, dan lain-lain kakitangan awam. Adalah sesuatu yang amat rugi jika berpindah semula ke semenanjung pasti tidak akan melepaskan peluang membeli sedikit sebanyak perabot-perabot jati ini. Jangan lepaskan peluang anda jika berkhidmat di Sibu nanti.